Thursday, February 15, 2007

ASSALAMMUALAIKUM

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ

Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca Arah ke Syurga sekalian. Arah ke Syurga adalah nukilan terbaru dari saya untuk pembaca sekalian dan tulisan ini adalah semata-mata berkenaan dengan apa yang wajib dan harus pembaca sekalian ketahui agar perjalanan untuk mencapai matlamat yang mutlak di muka bumi Allah ini tidak menjadi sia-sia dalam menuju ke arah kehidupan yang kekal abadi yakni kehidupan kekal di Syurga.

Saya mendapat ilham untuk mewujudkan tulisan ini semasa sedang menunggang kenderaan saya untuk ke tempat kerja saya. Entah kenapa secara tiba-tiba sahaja saya terfikirkan tentang satu website yang baru sahaja diperkenalkan kepada saya oleh seorang yang boleh saya anggap sebagai tuan guru kepada saya iaitu En. Zahiruddin, websitenya berkenaan tentang apa itu Rezeki Halal. Satu website yang amat berguna dan memberi banyak pengajaran tentang erti bersyukur dengan apa yang kita ada dan redha dengan segala dugaan-Nya.

Semasa saya menulis nukilan ini, hampir-hampir saya mahu menitiskan air mata saya mengenangkan apa yang telah saya capai dalam kehidupan saya selama hampir 29 tahun saya hidup dalam dunia ini. Mengapa saya sering berada dalam kesempitan, tidak tenang, gopoh dan pelbagai lagi. Apa yang telah dicapai? Jawapannya kosong. Apa yang telah dikumpulkan sebagai bekalan untuk menghadap-Nya kelak? Jawapannya juga kosong. Itulah apa yang boleh saya rumuskan dalam kehidupan selama hampir 29 tahun di dunia ini. Betapa saya berada dalam golongan orang-orang yang kerugian. Betapa leka dan alpanya saya dalam menunaikan tanggungjawab saya sebagai hamba-Nya.

Saya selalu terfikirkan ayat yang pernah disampaikan oleh seorang sahabat kepada saya, ayat itu adalah " Kejarlah Akhirat Kerana Jika Kamu Mengejar Akhirat Nescaya Dunia Akan Mengejar Kamu Tetapi Jika Kamu Mengejar Dunia Nescaya Akhirat Akan Meninggalkan Kamu" Apa yang dapat saya simpulkan disini adalah, kumpulkanlah sebanyak mana pahala yang termampu oleh kamu untuk menjadi bekalan semasa mengadap-Nya di Padang Mahsyar kelak kerana kehidupan yang kekal abadi hanyalah kehidupan di Syurga bukan di muka bumi ini. Apa yang bakal dibawa kesana esok hanyalah pahala kebaikan(amal), sedekah dan doa dari anak yang soleh.

Di blog ini akan saya war-warkan tentang apa jua perkara yang boleh mendatangkan pahala kepada kita. Semoga apa yang dilakukan oleh kita semua akan diberkati oleh Allah s.w.t. Oleh itu, bersama-samalah kita bermuhasabah tentang diri kita dan apa yang telah dilakukan bagi menambahkan lagi bekalan kesana kelak. Fikirkanlah tentang apa tujuan dan matlamat hidup kita di muka bumi ini.

Akhir kata dari saya, jika ada salah dan silap dalam penulisan saya ini nanti dapatlah kiranya diperbetulkan oleh pembaca sekalian, bersama-samalah kita tegur-menegur diantara satu sama lain, semoga dapat memperbetulkan diri kita sendiri. INSYAALLAH.

WASSALAM.

No comments: